# Saiz jantung dewasa besar sedikit daripada genggaman tangan. Beratnya pula antara 300 gram (gm) dan 400gm atau seberat satu tin minuman ringan.
Jantung terletak di bahagian tengah dada di antara kedua-dua paru-paru dan bukan di bahagian kiri seperti disangka ramai. Apeks jantung yang menyentuh bahagian kiri dada membuatkan kita merasai denyutan jantung di bahagian itu. Ini menjelaskan salah tanggapan orang ramai mengenai kedudukan jantung.
# Jantung organ yang pertama berfungsi. Ia mula berdenyut ketika janin di dalam kandungan berusia hanya empat minggu. Jantung terbentuk sepenuhnya apabila usia janin meningkat ke lapan minggu dan saiz janin sepanjang 2.5 sentimeter.
# Jantung berfungsi secara automatik. Ia tidak seperti sebahagian besar organ badan kita yang dapat dikendalikan menurut kehendak kita. Contohnya apabila mahu berjalan, kita gerakkan kaki.
Jika mahu bercakap, kita keluarkan bunyi melalui kotak suara dan gunakan pergerakan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi tertentu. Jika kita mahu menahan nafas seketika, kita hentikan pergerakan otot dada dan diafragma.
Ini semua tindakan dan pergerakan yang boleh dikawal. Jantung berlainan sama sekali. Ia tidak boleh ‘menurut perintah’. Kita tidak boleh hentikan pergerakan jantung walaupun seketika kerana ia terus berdenyut secara automatik tanpa henti hingga berakhirnya hayat seseorang itu.
# Proses pengaliran darah badan meliputi jantung yang bertindak sebagai pam dan sistem saluran darah yang kompleks membabitkan aorta, arteri, vena dan kapilari, iaitu saluran darah halus yang menghubungkan arteri dan vena.
Saiz aorta hampir bersamaan saiz hos air yang biasa digunakan di kebun dan saiz kapilari pula 10 kali ganda lebih kecil daripada sehelai rambut. Jika disambung semua saluran darah ini, panjang sistem ini hampir 100,000 kilometer atau bersamaan jarak mengelilingi dunia lebih dua kali!
# Arteri koronari pula adalah saluran darah di permukaan jantung yang membawa oksigen dan nutrien dari aorta ke otot jantung. Koronari berasal daripada perkataan Latin ‘korona’ dan Yunani ‘koron’ yang bermaksud mahkota atau ‘crown’ di dalam Bahasa Inggeris.
Ini kerana arteri koronari yang mengelilingi permukaan jantung dilihat seolah-olah seperti mahkota yang terletak di atas kepala.
Jika arteri koronari ini tersumbat secara tiba-tiba dan aliran darah tidak sampai ke otot jantung, ini menyebabkan serangan jantung yang berpunca daripada kerosakan teruk otot jantung.
# Satu-satunya fungsi jantung ialah sebagai pam untuk menghantar darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Selepas itu darah yang kurang beroksigen kembali ke bahagian kanan jantung melalui satu litar yang kompleks sebelum disalurkan ke paru-paru untuk diperkayakan semula dengan oksigen.
Darah ini kemudian kembali ke bahagian kiri jantung untuk dipam ke seluruh badan. Satu pusingan peredaran darah di litar ini mengambil masa lebih kurang 23 saat. Ini bermakna darah membuat pusingan mengelilingi litar ini sebanyak lebih kurang tiga kali dalam masa satu minit.
# Darah mengalir melalui jantung dalam satu arah saja. Proses ini boleh terjadi dengan adanya empat injap di dalam jantung. Apabila injap terbuka, ia memberi laluan kepada darah untuk mengalir keluar dari satu bahagian jantung ke bahagian jantung yang lain.
Apabila injap ini tertutup, ia menyekat pengaliran darah ke belakang. Mekanisme penutupan injap ini menghasilkan bunyi degupan jantung “lub-dub” yang didengar oleh doktor ketika menggunakan stetoskop.
Masalah boleh timbul jika injap menjadi sempit atau bocor akibat penyakit seperti demam reumatik atau endokarditis.
# Jantung adalah organ yang sangat kuat dan bertenaga. Sebagai demonstrasi, ambil sebiji bola tenis dan genggam sekuat mungkin. Inilah anggaran tenaga yang digunakan oleh jantung setiap kali ia mengepam darah ke seluruh badan.
Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang berlari pecut.
Dalam tempoh satu jam, tenaga kerja yang dihasilkan oleh jantung boleh mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30 sentimeter. Ini seumpama berat dua kereta Perodua Kancil. Tenaga yang dijanakan jantung sepanjang hayat seseorang pula boleh mengangkat satu kapal perang besar keluar dari air.
Begitulah kuatnya jantung kita. Bagaimanapun, seseorang akan mengalami penyakit lemah jantung apabila jantung gagal berfungsi secukupnya sebagai satu jentera untuk mengepam darah ke seluruh badan. Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan teruk pada otot akibat serangan jantung.
# Setiap kali berdenyut, jantung mengepam darah sebanyak 70 mililiter, di mana lebih kurang lima liter darah dipam dalam tempoh satu minit. Ini bermakna untuk tempoh satu jam pula, 300 liter darah, dan di dalam satu hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam jantung kita.
Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti tiga kapal tangki minyak yang besar!
# Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut sama ada anda bekerja atau tidur. Ketika anda berehat, jantung tidak berehat. Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit.
Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5 bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.
Tidak mungkin ada alat atau mesin yang diperbuat oleh manusia boleh menandingi kehebatan jantung kita. Alangkah bertuahnya kita mempunyai ‘alat’ kurniaan Tuhan yang sungguh menakjubkan ini.
Sekarang ambil tangan anda dan letak di tengah dada. Tanya diri sendiri, apa perlu anda lakukan hari ini untuk memastikan jantung anda mendapat penjagaan yang terbaik.
Peliharalah jantung anda dan belailah ia dengan penuh kasih-sayang kerana ‘si jantung hati’ inilah yang akan menjaga anda sehingga akhir hayat.
~Dr Haizal Haron Kamar
Terima kasih sudi baca. LIKE sikit !